Followers

Saturday, May 23, 2015

Mat Salleh Jadi Mat Dan Di Terengganu



Menetap di Malaysia selama lima tahun sudah cukup menjadikan Daniel Tyler, atau dikenali sebagai "Mat Dan" untuk bercakap dengan fasih dalam dialek tempatan. Pemuda kelahiran Bristol, England itu juga sering dilihat bergaul bebas dengan penduduk tempatan dan menikmati nasi yang dihidangkan bersama ulam dan sambal belacan menggunakan tangannya.
Perkara tersebut juga menjadikan penguasaan bahasa ibundanya terjejas. "Percakapan dalam bahasa Inggeris saya terjejas selepas menguasai dialek tempatan. Apabila saya berjumpa keluarga pada perkahwinan abang saya, rakan-rakan dan keluarga terkejut dengan percakapan saya yang berbeza.
"Saya mengambil masa yang agak lama untuk kembali normal," kata Mat Dan yang kini sering menambah pengakhiran ayat bahasa Inggerisnya dengan "-Lah".
Mat Dan berkata dia terpaksa belajar dialek tersebut berikutan sukar untuk bertutur dalam Bahasa Inggeris dengan penduduk tempatan


"Saya boleh bercakap dialek tempatan selepas tiga atau empat tahun berada di negara ini," kata lelaki berusia 25 tahun kepada The Star.Mat Dan berkata, pada asalnya dia menggembara di Thailand dan Laos sebelum seorang rakan mencadangkan untuk bercuti ke Pulau Perhentian.
"Dari situ saya ke Pulau Kapas. Daripada sehari ke sehari hingga bertukar menjadi minggu, minggu ke bulan, dan lima tahun kemudian, saya masih di sini. Saya jatuh cinta dengan tempat ini!.
"Pulau ini indah dan faktor utama kerana hospitaliti di Malaysia membuatkan saya terus tinggal di negara ini," ujarnya. Tambahnya lagi, Malaysia tidak seperti England, di mana "orang hanya memikirkan hal masing-masing".
Mat Dan memeluk Islam setelah beberapa tahun menetap di Terengganu dan menukar namanya kepada Kareef Daniel Abdullah.
Dia menjejakkan kaki di negara ini pada tahun 2009 ketika berusia 19 tahun selepas menyelesaikan Advanced Subsidiary level.
Menurutnya, dia sedang memikirkan untuk meneruskan pengajian dan mungkin dalam kursus biologi marin.

Sumber : Mstar Online


No comments:

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...